Ads 468x60px

14 Sep 2011

Dinar & Dirham Kelantan Menyatukan Ummah

Apakah itu Dinar Kelantan?
Dinar Kelantan adalah koin emas syariah yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Dinar Kelantan mula diperkenalkan pada September 2006 dengan dominasi ¼, ½ dan 1 dinar.Nilai semasa untuk dominasi-dominasi tersebut ialah RM99.38, RM176.76 dan RM332.25. Sempena menyambut ulang tahun hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan yang ke-57; dinar Kelantan berdenominasi 2 dinar telah diperkenalkan pada Julai 2007.

Pada 12Ogos 2010, Kerajaan Negeri Kelantan melancarkan koin-koin Dinar Kelantan dengan corak yang baru dalam dominasi ½ , 1, 2, 5 dan 8 dinar dengan harga semasa RM290.50, RM581, RM1162, RM2905 dan RM4648 masing-masing.


Apakah itu Dirham Kelantan?
Dirham Kelantan ialah koin perak syariah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Ianya mula diperkenalkan pada 12 Ogos 2010 dalam dominasi 1, 2, 5, 10 dan 20 dengan harga semasa RM13, RM26, RM65, RM130 dan RM260 masing-masing.

Apakah Kegunaan Dinar dan Dirham Kelantan?

Dinar dan Dirham Kelantan boleh digunakan untuk menyempurnakan ibadah zakat, bayaran mas kahwin, simpanan dan hadiah. Ianya juga boleh berfungsi sebagai medium pertukaran sukarela untuk barangan atau pun perkhidmatan.


Dimanakah boleh diperolehi koin Dinar dan Dirham Kelantan?
Sila rujuk laman web DinarKel untuk maklumat lanjut.

Dimanakah Dinar danDirham Kelantan boleh dibelanjakan?
Sila rujuk laman web DinarKel untuk maklumat lanjut atau lihat pedagang yang mempamerkan logo “Kami Terima Dinar dan Dirham”.

Apa kaitan Dinar dan Dirham Kelantan sebagai matawang Syariah?
Dinar dan Dirham Kelantan dikatakan matawang syariah kerana ianya halal menurut syarak. Dinar dan Dirham Kelantan menggunakan Piawaian Khalifah Umar Al-Khattab. Piawaian ini menetapkan hubungan dinar-dirham sebagai berat 7 koin 1 dinar bersamaan dengan berat 10 koin 1 dirham. Secara amnya berat 1 dinar ialah 4.25g emas berketulenan 22k (91.7%); manakala 1 koin dirham bersamaan 2.975g perak tulen.

Benarkah perkataan Dinar& Dirham ada di dalam Al Quran?
Perkataan dinar dan dirham disebut didalam Al-Quran pada:
Surah Imran (3):75 yang bermaksud “Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi”, dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”;
Surah Yusuf (12):20 yang berbunyi “Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya dan merekaadalah orang-orang yang tidak menghargainya.”

Bolehkah Kalimah Syahadah digunakan pada Dinar danDirham?
Boleh. Kalimah syahadah telah mula digunakan semenjak dinar mula-mula ditempa oleh Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan pada 120H. Dengan menempa kalimah tersebut melambangkan syiar Islam dan deklarasi iman dalam setiap keping dinar dan dirham.

Berikan contoh penggunaan dinar dan dirham di zaman Rasul s.a.w?
Contoh penggunaan dinar oleh Rasul s.a.w.
Hadits daripada Urwah bin Abi Al-Ja’d Al-Bariqi, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam memberinya satu dinar untuk membeli seekor kambing, lalu ia membeli untuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dua kambing dengan wang tersebut. Maka ia jual seekor dengan harga satu dinar dan membawa satu ekor kambing dan satu dinar kepada Nabi Shallallahu’alaihi wa sallam. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam mendoakannya: “Dia (Urwah ini), seandainya membeli debu tentu akan untung juga” (HR. Abu Dawud (2810) dan At-Tirmidzi (1/287))

Contoh penggunaan dirham oleh Rasul s.a.w.
Abu Salamah menceritakan, “Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA, “Berapakah mahar Nabi SAW untuk para isterinya?” Aisyah menjawab, “Mahar beliau untuk para istrinya adalah sebanyak 12 uqiyah dan satu nasy.” Lalu Aisyah bertanya, “Tahukah kamu, berapa satu uqiyah itu?” Aku menjawab, “Tidak.” Aisyah menjawab, “Empat puluh dirham.” Aisyah bertanya, “Tahukah kamu, berapa satu nasy itu? “Aku menjawab, “Tidak.” Aisyah menjawab, “Dua puluh dirham.” – (HR. Muslim).

Berikan contoh kaitan dinar dan dirham dengan Hukum Syarak?
Contoh dari segi zakat ialah nisab atau ukuran zakat ialah ½dinar bagi setiap 20 dinar dan 5 dirham bagi setiap 200 dirham; yang cukup haulnya. Manakala hudud dijalankan dalam kes kecurian yang nilainya melebihi ¼ dinar.

Apakah kaitan Pemerintah dengan Dinar dan Dirham?
Dinar dan dirham berkait rapat dengan kerajaan. Ini diperhatikan dalam Surah An-Nisa: 59: “Wahai orang yang beriman! Patuhlah kepada Allah dan patuhlah kepada Pesuruh Allah dan mereka yang memerintah kamu.” (An-Nisa (3):59)

Menurut Al-Qurtubi dalam Tafsir Al-Quran beliau, ayat tersebut merupakan perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam tujuh perkara. Perkara pertama ialah penempaan dinar dan dirham; dan enam yang lainnya ialah penetapan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, Jumu’ah, dua Hari Raya dan Jihad. Dalam kata lain, urusan dinar ialah urusan agama Islam dan kedaulatan daulah Islam. Penggunaan dinar melambangkan kepatuhan kepada perintah Allah; bukan semata-mata urusan ekonomi.

Apakah Dinar Dan Dirham Kelantan sahaja yang boleh dijadikan matawang?

Tidak semestinya. Di sepanjang sejarah manusia terdapat pelbagai komoditi yang digunakan sebagai wang. Komoditi di atas termasuklah binatang ternak, bijirin, manik-manik, cengkerang, rokok, tembaga dan timah. Emas dan perak telah terpilih sejak berzaman sebagai matawang kerana mempunyaiciri-ciri sebagai wang. Ianya sukar diperoleh, cantik, mudah dibahagi, mudah dibawa, diterima khalayak ramai dan tidak mudah dimusnahkan. Imam Malik di dalam Kitab Al-Muwatta menjelaskan bahawa wang ialah apa-apa komoditi yang lazimnya diterima pakai sebagai bahan pertukaran.

Adakah Koin Kijang Emas sama dengan Dinar Kelantan?
Tidak sama. Spesifikasinya berbeza daripada Dinar Kelantan.Kijang Emas ialah koin emas seberat ¼, ½ dan 1 troy ounce yang dilancarkan Bank Negara Malaysia sekitar Julai 2001. 1 troy ounce adalah bersamaan 31.1 g, 1 Dinar Kelantan pula 4.25g.

Benarkah wang kertas seperti dolar Amerika, Yen Jepun dan ringgit Malaysia 100% disandarkan dan boleh disaling-tukar dengan emas?
Tidak benar. Berdasarkan sistem kewangan dunia kini, tiada satu pun mata wang nasional yang bersandarkan emas. Wang kertas hanya boleh ditukar dengan wang kertas yang lain. Sebagai contoh; jika seseorang ke bank pusat seperti Bank Negara Malaysia untuk menukarkan sekeping wang $100, beliau akan diberikan SAMA ADA 2 keping wang $50 ATAU 10 keping wang $10; ATAU 100 keping wang $1 tetapi tidak sama sekali ditukarkan dengan emas.

Adakah Dinar Kelantan sejenis Wang Fiat?

Dinar Kelantan bukan wang fiat, ianya alat tukar sukarela . Wang fiat adalah wang yang nilainya dikuatkuasakan oleh undang-undang negara. Wang fiat menjadi wang sah melalui perintah atau paksaan kerajaan. Wang fiat diperakukan sebagai medium melangsaikan hutang melalui undang-undang. Jika pemiutang tidak mahu menerima wang fiat sebagai bayaran melangsaikan hutang, beliau boleh dibawa ke mahkamah! Wang fiat merupakan nota janji kerajaan. Wang fiat sesuatu negara tidak menjadi wang sah di luar sempadannya kerana undang-undang sesebuah negara hanya berlaku di dalam sempadan nagara itu sahaja. Dinar Kelantan boleh diterima di mana saja, asal saja ada kesudian pembeli dan penjual.

Dinar Kelantan ialah koin emas, bukankah Ringgit disandarkan kepada emas?
Sandaran kepada “wang kertas BNM” atau lebih dikenali sebagai Ringgit adalah wang kertas yang lain; seperti Dollar Amerika, Yen Jepun, Euro dan seumpamanya. Emas cuma merupakan sebahagian kecil daripada rizab BNM, sekitar 1.5% (Cuma RM1.452 bilion daripada RM94.772 bilion; setakat 30 Jun 2010). Rujuk Bank Negara Malaysia

Mengapa perlu umat Islam beralih daripada wang kertas atau wang fiat kepada koin dinar seperti Dinar dan dirham Kelantan?

Mengapa tidak? Penggunaan dinar serta dirham adalah antara sunnah Rasul s.a.w. Selain daripada berpeluang mengikuti jejak langkah baginda,umat Islam dapat disatukan melalui penggunaan dinar yang tidak mengenal sempadan. Corak tempaan dinar mungkin berbeza-beza tetapi berat dan ketulenannya adalah serupa di serata pelusuk daulah Islamiah. Satu Dinar, Satu Ummah.

0 comments:

Post a Comment